Monday, December 7, 2009

Malaysia-Thailand

Rombongan Menteri2 Malaysia akan ke Thailand utk membincangkan masalah sekian lama Selatan Thai. Setelah sekian lama masalah ini, akhirnya ada juga usaha dari negara kita utk membantu saudara sesama islam kita di selatan Thai. Semoga delegasi tersebut berusaha dengan semgat jihad LIllahitaala dan semua pihak akan memperoleh manfaat, InsyaAllah.

petikan dari utusan 7 december 09


Malaysia mampu bantu selesaikan konflik selatan Thailand

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Malaysia berpeluang membantu menyelesaikan konflik di selatan Thailand berikutan ketidakyakinan penduduk wilayah itu untuk berunding dengan kerajaan mereka sejak sekian lama.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, sekarang adalah masa paling sesuai untuk berbuat demikian kerana Thailand kini lebih memahami kepentingan dan hak sama rata rakyatnya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, hubungan akrab kedua-dua negara turut mencerahkan peluang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

''Masyarakat di wilayah bergolak itu meletakkan kepercayaan penuh dengan kewibawaan negara untuk membantu menyelesaikan konflik yang berlanjutan sejak sekian lama,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghadiri Perundingan Tahunan Keempat dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di Bangkok bermula esok.

Beliau diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, lapan menteri Kabinet dan dua timbalan menteri dijangka mengadakan lawatan ke selatan Thailand bagi membolehkan beliau mengetahui lebih tepat pandangan kerajaan negara itu berhubung konflik berkenaan.

Sementara itu, Pensyarah Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid berkata, perbincangan kedua-dua pemimpin itu dijangka mewujudkan dasar yang lebih liberal kepada komuniti di wilayah itu.

Beliau berkata, ia juga akan menjadi titik tolak bagi menyelesaikan konflik tersebut dan Malaysia berpeluang memberi cadangan serta langkah-langkah sesuai yang perlu diambil oleh kerajaan Thailand.

''Thailand juga perlu menghentikan diskriminasi dan menjadi lebih liberal dengan memberi peluang ekonomi dan kesamarataan kepada masyarakat tersebut sama seperti rakyatnya yang lain,'' katanya.

Ketua Program Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Ruhanas Harun pula memberitahu, pertemuan Najib dan Abhisit itu diharap mewujudkan satu permulaan yang baik untuk menyelesaikan konflik.

Beliau berkata, kesediaan kerajaan negara itu untuk berunding menunjukkan keterbukaan mereka untuk melihat dan mengkaji seterusnya menyelesaikan masalah secara total.

''Akan tetapi hak dan kuasa untuk menggagalkan atau menjayakan rundingan perbincangan tersebut tetap bergantung kepada kerajaan Thailand sendiri,'' tambahnya.




No comments: